SOALAN BOCOR DARI GURU TERCINTA
Telah sampai kepadaku sepucuk surat yang sangat baik isinya. Saya memanjangkannya ..... Semoga ia dimanfaatkan sebaiknya
Suratnya berbunyi
Seorang guru telah membocorkan soalan peperiksaan.... Dalam pada itu, masih ramai yang gagal dalam peperiksaan !!!
Guru ini telah membahagikan soalan-soalan peperiksaan yang bakal dihadapi oleh pelajar di dalam beberapa hari lagi. Guru itu juga telah memberitahu bahawa soalan yang ia berikan akan disoal di dalam peperiksaan. Soalannya hanya tujuh sahaja....
Kertas satu, tiga soalan dan kertas dua, empat soalan.
Guru itu telah menerangkan jawapan dan menekankan bahawa soalan yang bakal keluar adalah soalan yang telah ia berikan dan mengingatkan walaubagaimana keadaan pun, soalan dan jawapan tetap tidak akan bertukar.
Setelah guru beredar, para pelajar telah berpecah kepada dua kumpulan.
Kumpulan pertama, tidak percayakan cakap guru dan mereka tidak mengindahkan persediaan untuk menghadapi ujian tersebut.
Kumpulan kedua, membenarkan kata-kata guru. Mereka ini pula terbahagi kepada dua kumpulan. Satu kumpulan yang membuat persediaan rapi untuk memasuki ujian. Satu kumpulan lagi, menangguhkan persiapan hingga ujian menjelang. Apabila ujian menjelang, mereka tidak mampu menjawab dengan baik.
Tahukah kita, siapakah guru gersebut ?
Guru tersebut adalah Nabi Muhammad SAW. Guru ini telah memperingatkan akan hal ujian yang sangat sedikit yang berjaya menjawabnya. Guru ini juga telah memudahkan urusan menjawab dengan membocorkan soalan ujian dan memberikan jawapannya sekali.
Soalan kertas pertama akan disoal di dalam kubur. Soalannya adalah, "Siapa Tuhan kamu?", "Apa agamamu ?" dan "Siapa Nabimu?"
Soalan-soalan yang ditanya adalah soalan yang sangat mudah dijawab, jika mereka berada di atas tanah. Apabila telah masuk ke dalam tanah, maka soalan tersebut adalah soalan yang sangat susah. Hanya mereka yang membuat persiapan rapi sahaja yang boleh menjawab dengan baik.
Kegelapan di dalam tanah, dalam keadaan berseorangan, benar-benar membuatkan seseorang hilang akal untuk menjawabnya.
ﻓَﻮَﺭَﺑِّﻚَ ﻟَﻨَﺴْﺄَﻟَﻨَّﻬُﻢْ ﺃَﺟْﻤَﻌِﻴﻦَ 0 ﻋَﻤَّﺎ ﻛَﺎﻧُﻮﺍ ﻳَﻌْﻤَﻠُﻮﻥ
Demi Tuhanmu! Kami akan menyoal mereka (yang kafir itu) semuanya (pada hari kiamat kelak), Mengenai apa yang mereka telah lakukan.
Soalan kertas dua pula akan ditanya di Mahsyar.
Guru yang membocorkan soalan tersebut telah memberitahu kepada semua, "Tidak akan bergerak kaki seseorang pada hari kiamat (ketika perbicaraan) sehinggalah mereka ditanya tentang empat perkara, tentang waktu mudanya (ketika ia masih kuat) pada apakah ia habiskan (sia-siakan), tentang umurnya pada apakah yang telah ia gunakan, tentang hartanya dari sumber mana ia usahakan (halal atau haram) dan di manakah ia infaqkan (berpahala atau dosa), tentang ilmunyanya apakah yang telah ia amalkan".
Soalan yang sangat menakutkan. Ingatlah ! Kita semua akan ditanya di hadapan Allah SWT.
Ianya adalah soalan yang jelas dan mudah untuk dijawab jika mereka membuat PERSIAPAN rapi. Jawapannya adalah AMAL SOLEH. Adakah ia diterima ? Cukup beratkah ia ketika ditimbang untuk melepaskan kita dari neraka ? Bagaimana pula hak orang lain yang telah dizalimkan ?
Sesunguhnya orang mendapat taufiq adalah mereka yg diberi keizinan dan pertolongan untuk beramal. Mereka itulah orang yang PALING BAHAGIA.
Peperiksaan dunia dituai di dua tempat.
1. Di dunia. Jika gagal, ia masih boleh lagi diulang pada lain masa. Ia bukanlah kerugian yang sebenar.
2. Di akhirat. Jika gagal, ia adalah penyesalan yang tidak berkesudahan. Ia benar-benar sebuah KERUGIAN
ﻓَﺎﻋْﺒُﺪُﻭﺍ ﻣَﺎ ﺷِﺌْﺘُﻢْ ﻣِﻦْ ﺩُﻭﻧِﻪِ ۗ ﻗُﻞْ ﺇِﻥَّ ﺍﻟْﺨَﺎﺳِﺮِﻳﻦَ ﺍﻟَّﺬِﻳﻦَ ﺧَﺴِﺮُﻭﺍ ﺃَﻧْﻔُﺴَﻬُﻢْ ﻭَﺃَﻫْﻠِﻴﻬِﻢْ ﻳَﻮْﻡَ ﺍﻟْﻘِﻴَﺎﻣَﺔِ ۗ ﺃَﻻَ ﺫَٰﻟِﻚَ ﻫُﻮَ ﺍﻟْﺨُﺴْﺮَﺍﻥُ ﺍﻟْﻤُﺒِﻴﻦُ
"Maka sembahlah kamu apa yang kamu kehendaki, yang lain dari Allah, (kamu akan mengetahui akibatnya)". Katakanlah lagi: "Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan sebenar-benarnya) ialah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri dan pengikut-pengikutnya pada hari kiamat (dengan sebab perbuatan mereka memilih kekufuran atau kederhakaan). Ingatlah, yang demikian itulah kerugian yang jelas nyata."
Semoga kita tidak lalai dengan ujian peperiksan akhirat dan semoga Allah SWT mengurniakan rezeki beramal dan teguh pendirian untuk membuat persiapan rapi secara istiqamah bagi menghadapi hari perbicaraan....
No comments:
Post a Comment