Tuesday, January 14, 2014

SEANDAI RASULLULAH MASIH ADA

Andai ditakdirkan Tuhan, Rasulullah s.a.w. masih lagi hidup di ketika ini. Dan andainya baginda khabarkan pada kita bahawa baginda akan datang berkunjung ke rumah kita. Apakah perasaan kita di waktu itu? Andainya waktu kunjungan baginda telah pun tiba. Bahkan baginda sudah pun berada di hadapan pintu rumah kita dan salam pun sudah diberikan. Bagaimana perasaan kita dengan kehadiran baginda?
Apakah kita merasa amat bertuah menerima tetamu yang juga Kekasih Allah? Apakah hati kita akan begitu terharu menerima salam dari seorang Rasul penyelamat ummah? Apakah akan kita biarkan salam itu tidak berjawab sebanyak dua kali, lantaran mahu mendengar suara baginda yang suci?
Atau……..apakah perasaan kita berkecamuk di waktu itu dan kita mula menggelabah? Kerana kita baru teringatkan himpunan majalah-majalah hiburan di sudut kaki meja di ruang tamu rumah kita. Majalah yang kulit mukanya penuh dengan aksi-aksi wanita dan lelaki yang terbuka auratnya. Bagaimana kalau Nabi nanti terpandang. Tentu malu kita dibuatnya.
Kita juga teringat akan deretan VCD di sisi TV. Harus kita sorokkan juga kerana hampir semua filem itu,  tidak sesuai ditonton oleh umat seperti kita. Ada filem-filem yang berunsur lucah yang tersusun rapi di situ. Kalaulah Nabi nanti bersuara, mana mahu disorokkan muka. Apa alasan yang akan kita berikan jika nanti Nabi bertanya?
Kita terpandang poster-poster penyanyi wanita dan lelaki yang seksi di belakang pintu. Apakah akan kita biarkan ia tergantung di situ, sehingga nanti terpandang oleh Nabi? Di bilik tidur pun masih banyak lagi yang kita tampalkan. Apakah yang harus dijawab bila nanti Nabi bertanya mengapa poster seperti itu yang kita puja?
Kita jadi semakin gawat bila kita mula teringatkan rak-rak buku yang kita letakkan di tepi dinding, hanya dipenuhi dengan buku-buku cerita cinta yang telah menjadi koleksi kita sekian lama. Tak ada satu pun buku bercorak agama. Malah Al Quran. Ya, di mana Al Quran yang pernah ibu bekalkan sewaktu kita berangkat meninggalkan kampung 2 tahun yang lalu? Di mana kita simpan? Dan di manakah harus kita humbankan semua koleksi buku cinta yang lebih kita sayangi daripada Al Quran Kalam Tuhan?
Perasaan kita semakin cemas, bila kita baru teringat bahawa kita di waktu itu hanya berseluar pendek atau kepala kita langsung tidak bertutup. Kita mula masuk semula ke bilik. Semua almari kita buka demi mencari sehelai tudung yang pernah diberi oleh seorang kawan satu ketika dahulu. Di mana tudung tu? Kita semakin gelabah. Tudung yang satu itu tidak kita jumpai. Tak kan kita nak sambut Nabi dalam keadaan aurat terbuka?
Kita pun jadi kaget, bila seluar panjang kita semua masih berada di jemuran. Hanya itu sahajalah yang ada. Itu pun kita gunakan untuk pergi ke kelas atau pejabat. Biasanya kita hanya berseluar pendek. Kain pelikat, kita mula teringat. Tapi puas kita cari namun sehelai pun tidak kita temui. Baru kita tersedar. Selama ini jarang sangat kita bersembahyang.
Hati kita mula menduga-duga. Bagaimana nanti bila Ar Rasul bertanya tentang sembahyang. Apa yang harus kita jawab? Sudah berbelas tahun kita tak sujud pada Tuhan. Kalau ada pun hanya dua kali setahun iaitu pada Hari Raya.
Ah! Terlalu banyak yang perlu kita lakukan hanya untuk menyambut kedatangan seorang Kekasih Tuhan. Lalu kita membuat keputusan untuk hanya mendiamkan diri. Biarlah salam Nabi tidak berjawab. Biarlah baginda berdiri berlama-lama di depan pintu. Nanti bila dah penat tentu sahaja baginda berlalu pergi. Biarlah Nabi tak datang ke rumah sampai bila-bila. Biarlah Nabi tak datang berziarah. Dan akhirnya Nabi pun pergi bila tiga salamnya tidak bersambut.
Tapi nak dijadikan cerita, pada ketika yang lain, sewaktu kita sedang berjalan-jalan dengan seorang wanita yang kononnya buah hati yang kita cintai. Sambil berjalan berpegang tangan. Sambil berjalan bermesra-mesraan. Bergelak tawa, bersenda gurauan. Tiba-tiba kita terserempak dengan Nabi Junjungan Tuhan.
Lalu kita ditanya Nabi, siapakah perempuan yang berada di sisi. Apakah yang harus dijawab. Apakah harus kita bohongi Rasul Tuhan dengan mengatakan ia adalah isteri kita? Atau kita akan terus menolak si wanita jauh ke tepi, lantas kita terus menghilangkan diri? Ataupun kita, tanpa segan dan silu, akan terus tersenyum pada Nabi, sambil tangan kita memeluk erat si wanita yang berada di sisi?
Seandainya ditakdirkan Nabi masih hidup. Dan baginda melihat umat yang namanya dibibir baginda sewaktu baginda menghembuskan nafas terakhirnya, hidup dengan jalan yang tidak selari dengan ajarannya. Baginda bergadai nyawa untuk mempertahankan agama Tuhan. Baginda rela hidup dalam kelaparan demi kebaikan umat akhir zaman. Tapi kini, umat yang baginda kasihi telah menfitnah dan mendustakan diri baginda sendiri.
Tidak pernah baginda mengajar umatnya bermaksiat tapi kini umat yang dikasihi langsung tidak menghargai diri baginda. Pengorbanannya selama ini langsung tidak dihargai. Dirinya langsung tidak diingati. Walau lidah mengucap syahadat, tapi amal mereka penuh dengan maksiat. Andainya Nabi masih ada, pasti bergenang air mata suci baginda. Melihat umat yang ditinggalkan, terus leka dengan dunia.
Andainya Rasul masih ada. Bayangkanlah apa perilakumu, bila ditakdirkan Nabi datang bertamu. Apakah engkau akan bersikap hipokrit di hadapannya atau engkau terus dengan perangai harianmu sehingga hancur hati baginda. Andainya Rasul masih ada…..

No comments:

Post a Comment

Popular Posts